Warkah buat puteriku

Assalamualaikum wrt wbt..


Sewaktu aku ingin menitipkan tintaku ini buatmu, aku merenungimu dengan penuh kasih sayang. Aku bersyukur kerana aku dianugerahkan seorang cahaya mata bernama wanita yang bakal mewarisi sifat kelembutan ibumu sebagai wanita solehah. Aku berpesan buatmu tentang keadilan Tuhanmu, betapa agungnya Dia menciptakan dirimu sebagai insan yang bergelar wanita supaya kau sanjungi anugerahNya buatmu.


Keagungan Tuhanmu mengatasi segalanya. Oleh itu, patuhilah segala perintahnya lantaran kau terpilih dijadikan cuma sebagai hamba dan jauhilah laranganNya untuk menunjukkan kasihmu terhadapNya. Selamatlah dirimu tikamana kau memilih jalan taqwa dan meninggalkan perangkap maksiat dan kehinaan.


Puteriku,

Berimanlah dikau dengan Allah yang maha agung. Yakinilah pada ajaran dan sunnah Rasulullah saw. Berpeganglah pada dustur yang mengajarmu tentang laluan hidupmu. Lantas ketauhidanmu akan meningkatkan taqwa dan imanmu terhadap penciptamu.


Puteriku…

Aku memilih nama seorang wanita yang aku kagumi dari kalangan para serikandi. Percayalah bahawa namamu ini sudah memadai untuk kau merasa rendah diri terhadap Tuhanmu dan bertanggungjawab untuk meneladani peribadi yang pernah bernama seperti itu. Ingatlah kau bakal menjadi serikandi sepertinya suatu masa nanti.


Puteriku..

Taatilah kedua ibubapamu lantaran merekalah yang membawamu ke dunia ini lalu melengkapimu dengan kecintaan dan kebaikan. Engkau bagaikan permata yang bersinar dalam kehidupan kami.


Puteriku…

Engkau adalah generasi puteri akhir zaman. Penuhilah dadamu dengan ilmu. Tidak rugi engkau menjadi seorang yang berilmu seperti beberapa tokoh serikandi islam yang pernah melakarkan sumbangan mereka terhadap tamadun islam. Lihat saja Saidatina Aisyah r.a yang terdidik dalam madrasah Rasulullah saw yang betah menjawab setiap persoalan lantaran kefaqehan yang terbukti. Lihat pula peribadi Saidatina Khadijah r.a, pasti kita terpana akan pengorbanannya yang sukar ditandingi. Kita susuri pula kezuhudan dan agung kasih serta cintanya terhadap ilahi, tentu sahaja engkau pernah mendengar akan nama Rabia'tul Adawiyah. Kesemua mereka itu adalah wanita. Beruntunglah engkau wahai puteriku jika engkau menyusuri jejak mereka. Aku sengaja menampilkan peribadi-peribadi tadi bukan untuk menghasut cemburumu malah aku mahukan engkau meneladani jejak mereka.


Puteriku…

Tidak salah untukmu terjun ke medan jihad kerana ikhlasmu untuk menegakkan agama Allah. Aku tidak mengajar engkau untuk takut akan mati syahid. Pernahkah engkau mendengar kalam seorang mujahid tentang perjuangan; Syeikh Abdul Qader Audah berkata.. “Jika aku dipenjara kerana perjuangan suci ini, aku boleh beruzlah. Jika aku dibuang daerah aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh kerana perjuangan yang benar ini, maka akau dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang syuhada’..” Berbicara soal perjuangan merupakan suatu realiti kerana hidup ini sebuah perjuangan. Perjuangan membebaskan diri dari cengkaman kekufuran terhadap Ilahi. Perjuangan mendidik diri menjadi seorang hamba dan perjuangan mengembalikan kedaulatan daulah islamiah yang telah lama hilang. Itulah amanah yang perlu kita lunaskan.


Puteriku…

Sampai masanya nanti engkau bakal menjadi seorang isteri dan seterusnya bergelar seorang ibu. Usahlah engkau ragui akan jodohmu kerana lelaki soleh itu adalah untuk wanita solehah. Dari itu jika engkau mengidamkan bakal suamimu sehebat Saidina Ali k.w, jadikanlah dirimu seindah Fatimah Az-zahra'. Ingatlah puteriku..bahawa perkahwinan itu suatu amanah yang cukup berharga dari Allah swt.


Sematkanlah pesanan ini dilubuk hatimu.. Berkemungkinan aku telah tiada disisimu untuk selalu menemanimu.. Maka warkah ini ku utus sebagai peneman sunyimu…


- Ayahandamu

Tiada ulasan: