Duhai mata yang sedang menangis

Duhai mata yang sedang menangis...
Mungkin tika ini kau sedang bahagia, mungkin juga kau sedang berduka. Apapun situasimu, air mata yang menggenangi kelopak matamu dan mengalir ke pipi ialah anugerah Allah yang tidak terhingga. Ia mampu membuang racun ditubuhmu kemudian disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah padaNya kerana hingga saat ini kau masih mampu menangis.

Sungguh hairan ku melihat orang yang merasakan air mata itu satu kelemahan. Malah menganggapnya satu lambang ketidakmatangan. Sedangkan Allah merakam mulia sebuah tangisan dalam firmanNya,
"Dan mereka menyungkur (sujud) di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Surah al-Isra': 109)

"Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud sambil menangis." (Surah Maryam: 58)

Duhai mata yang sedang menangis...
Tahukah dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuh. Air mata secara semulajadi boleh membuangnya. Otak pula bekerja mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu saja, tangisan menambah jumlah degupan jantung sebagai latihan berguna buat sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah tangisanmu reda, kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan mula menguasai jiwa. SubhanaAllah, hebat sungguh penciptaan air mata.

Duhai mata yang sedang menangis...
Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Samada kau lelaki atau wanita, kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketenangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.

Jika kau lelaki, kenapa kau perlu malu pada tangisan? Mungkin sosiobudaya mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dalam mengendalikan kemampuan. Kau mungkin dipisah antara diridengan perasaanmu sendiri oleh didikan silam. Apa pun, tak siapa dapat menafikan kau juga insan yang punyai hati dan perasaan. Isi hatimu kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan menafikan air mata kerana kelak badanmu mendapat darurat.

Jika kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki. Tahukah dikau, PenyayangNya Allah padamu hingga dia menciptakan kalenjar-kalenjar air matamu lebih besar daripada kalenjar-kalenjar air mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau menangis empat kali lebih banyak daripada lelaki.

Ia antara penyebab panjangnya usiamu berbanding lelaki. Masakan tidak, air mata keluar bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh. Doktor pakar berkata, air mata penting untuk menyucikan mata daripada racun yang keluar akibat ketegangan urat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.

Duhai mata yang sedang menangis...
Sungguh bertuah kau masih mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu. Luahkan dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu. Benar, tangisan itu tidak mampu mengembalikan masa lalu. Jangan biarkan tangisan itu membibitkan kabus masa depanmu. Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangmu untuk melonjakkan amal dan perubahan untuk hari esok.

Sesungguhnya tangisan kerana Allah ketika gembira atau derita ialah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup. Dengarilah pesanan Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan kalam Yang Esa,
"Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut pada Allah." (Riwayat Ahmad dan an-Nasa'i)

karya ukhti Fatimah Syarha

Tiada ulasan: